30 December 2010

creamy seafood pasta

guna cendawan tiram dan seafood
 pasta yang paling cek chun suka. sebab cepat nak disediakan dan mudah. kalau beli tickened cream yang kotak kecil tu, boleh guna untuk dua kali masak. paling cikai pon, guna jer seafood yang mana ada. boleh guna sotong, udang atau kepah. nak guna ayam pon boleh.

kalau ada sayur lak, selalunya yang popular ialah cendawan butang. masa chun makan di dave's deli, depa guna osyter mushroom. mungkin sebab letak sedikit, tak rasa muak la spageti tu. capsicum pun selalu diletak juga. semua benda digoreng saja, kemudian diletak cream pada step terakhir. sebab tu lah mudah dan senang.

seafood sahaja bersama salad timun as a side dish
chun cuma kopipes resepi yang dah sedia ada diblog ni. dan tukar bahan-bahan sesedap rasa.

bahan-bahan

  • 300gm fetucine/spagetti
  • 1/2 capsicum - buang bahagian putih di dalam, hiris nipis memanjang (tak ada)
  • oregano - chun guna yang segar, tapi tak mengancam bau nya. lebih prefer yang kering punya.
  • 10 ekor udang - buang kulit dan bersihkan
  • 5 ekor sotong - potong kecil
  • sedikit cendawan tiram
  • 1 kotak kecil cream (guna half saja)
  • garam, fresh black pepper
  • 100gm sosej - potong menyerong (tiada)
  • 4 ulas bawang putih - cincang halus 
  1. masukkan 2camb garam dalam air mendidih. fetucine/spageti direbus ikut arahan di bungkusan. 
  2. tumis bawang putih hingga layu. masukkan udang dan sosej. goreng sebentar. 
  3. masukkan capsicum atau sayuran lain.
  4. masukkan sedikit air rebusan pasta, cream, perasa dan akhir sekali pasta.  kacau sebentar.

29 December 2010

ayam paprik mudah

baru setahun ni rasanya cek chun kenal daun salam thai (thai basil leaf). punya aroma yang sunggoh mengasyikkan. selalu nampak dijual di pasar malam, seringgit secekak. diikatnya dengan getah. nak makan macam ulam, tak gamak rasanya. bau wanginya tu kuat sangat. kalau masukkan dalam masakan barulah tekak boleh terima. paling best masukkan daun ni dalam laksa siam. huh. masyuk la. makan bertambah punya.

sebenarnya takde idea nak masak apa. ini kes hentam saja la labu. janji nampak ala-ala paprik. selalu paprik ada serai dan daun limau purut, my version tarak ini benda. nama pun mudah kan :p

bahan-bahan
  • 2 bahagian ribs - suka bahagian ayam ni sebab ada isi dan tulang.
  • 1 tomato - belah baji
  • 1/2 karot - hiris nipis-nipis 
  • 3 camb sos cili pencecah keropok lekor - yap, nak mudah kan? :p, kalau takde, guna la cili kering yang di blender
  • 1 camb sos tiram
  • 1 camb sos seasoning maggi
  • garam
  • lada hitam
  • beberapa helai daun salam
  • 2 bawang putih - dadu
  • 2 camb minyak masak
  1.  panaskan minyak dan tumis bawang putih hingga kuning. 
  2. masukkan sos pencecah, kacau hingga garing dan masukkan ayam. goreng hingga hampir masak. masukkan sedikit air. 
  3. letak semua bahan perasa. masak selama 5 minit dan masukkan daun salam. kacau sebentar.

28 December 2010

brokoli and tauhu bersiram

tu dia aih tajuk. padahal sayur biasa-biasa saja. tapi sebab kedua-dua benda ni kena bersiram dek kuah yang pekat tu, maka wajar sangatlah diletak nama macam kat atas tu. mudah dan murah saja nak menyediakan ni.

bahan-bahan
  • 1 brocoli 
  • 1 tauhu lembut saiz sederhana - potong kecil
  • 2 bawang putih - di dadu 
  • 2 bawang besar/bawang merah - hiris nipis
  • minyak zaitun
  • lada hitam 
  • sos seasoning Maggi
  • 2camb sos tiram
  • 1camt tepung jagung 
  • 1camt garam
  • sedikit air
  1. panaskan air dan letak 1camt garam. celur brokoli dan tauhu selama 3 minit.
  2. toskan dan letak di dalam pinggan hidang.
  3. panaskan mintak zaitun, tumis bawang hingga layu.
  4. masukkan sedikit air untuk membuat kuah. letak semua perasa dan lada hitam.
  5. masak selama 5 minit. pekatkan kuah dengan air bancuhan tepung jagung. 
  6. siram kuah diatas brokoli dan tauhu tadi. 

26 December 2010

apam padelpop

bila jengok-jengok di rumah ummi dan beberapa lagi rumah masakan, chun terperasan yang masing-masing mencuba apam pelangi ni. bila baca resepinya, amat lah mudah untuk dicuba. rupanya resepi dari rumah kak ilah jy.

memang best la apam ni. wangi jer bau santan tu.  bila bagi kat bebudak dua orang tu, kejap je depa habiskan. katanya sedap. selalu mak depa masak jer sedap. kali ni, auntie chun kembang kejap kena puji. depa kata rupa pon macam ais krim padelpop. lol. baru chun perasan. kaler macam aiskrim tu. berwarna-warni.

ni resepi chun kopipes dari rumah kak ilah jy. thanks ya :)

bahan-bahan
  • 4 biji telur
  • 2 sudu teh ovellet
  • 1 sudu teh esen vanila
  • 300 gm tepung gandum
  • 300 gm gula halus
  • 250 ml santan kara
  • 1 sudu teh baking powder
  • pewarna - chun guna warna ungu, biru dan hijau

caranya:

1.pukul telur dgn gula dan ovelet sampai gebu
2.masukkan santan dan esen vanilla kacau sebati
3.masukkan tepung yg diayak bersama baking powder kacu rata
4.bahagi kepada 3 warna yg kita suka tuangkan selapis selapis sehingga habis dan kukus 30 minit sehingga masak..

*chun sapu minyak pada loyang kek dan tutup permukaan loyang dengan aluminium foil.

25 December 2010

macaron ke macarena

cubaan pertama untuk memacaronkan diri. dah banyak hari buka dan tutup website. cari segala resepi macaron dan tip-tip berguna semasa membuatnya. siapa sangka ya, cuma gula, telur dan serbuk badam, boleh buatkan daku gundah gulana.

bila dah bakar, adoihh. nak tergelak pun ada. patutla ada yang sampai batch ke 10 baru macaron nak jadi. macaron chun buat bukan setakat tak ada foot, malah naik pun tidak. lol. gelak sorang-sorang sambil gulana dalam hati. penat aku baca tips semua bagai. hehehe.

manis benar lah macaron ni. memang bukan lah kegemaran chun. tapi ini baru part one. banyak lagi part bakal menyusul. baking mesti sampai jadi. in the mean time, erkkk rina, bak macaron sekotak?  hehehe

salmon steak

salmon steak yang penuh dengan omega 3 fatty acid untuk jantung yang sihat. salmon ni juga ada calcium, magnesium, protein dan  vitamin B. kalau nak tahu banyak lagi, terjah jer ke link ini.

chun cuma letak fresh grind black pepper dan sos L&P. kalau nak yang murah, boleh guna sos seasoning jenama Maggi. tak payah letak garam dah. panaskan 2 camb. minyak zaitun di dalam non-stick pan. goreng selama 2 minit untuk setiap belah. kira macam medium rare lah ni. dan enjoy dengan salad wild rocket.

24 December 2010

lamb chop with wild rocket

 
dah lama chun nak try wild rocket ni. selalu tengok jamie oliver guna untuk buat salad. teruja. tambah-tambah bila dia cakap - it has nutty and peppery flavour. kebetulan masa ke jusco, chun jumpa yang dah less 50%. tapi masih segar bugar lagi. grab terus la.

selain sedap, wild rocket juga menolong penghadaman, dan punya kandungan sulfur yang tinggi untuk menyumbang kepada kulit, rambut dan kuku yang cantik. berbaloi tau makan ni :)




chun cuma guna sedikit garam dan minyak zaitun untuk salad dressing ni. letak jer atas daun dan kacau perlahan-lahan dengan jari. daun ini agak fragile. jadi tak boleh toss lama-lama. rasanya memang nutty dan crunchy. memang sedap kalau nak campur dengan daun lain untuk buat salad.


makan saja dengan lamb chop yang dah siap marinate dari jusco. sangat lah pedas dan kurang sedap. elok lagi kalau beli yang frozen tu dan balik letak jer rempah yang dibuat sendiri.

19 December 2010

awesome ehh

cek chun dapat tag dari cplud. awesome ke sayang? biasa-biasa saja nih. masak kasi kenyang perut saja. thanks for the tag. kena menjawab eh. tak jawab tak bley ka :-p

1. cek chun mula memasak masa sekolah rendah. sebab kita anak sulung, jadi kena la tolong mak. kalau tak tolong pun, nanti dengaq lah dia jerit - anak dara!!!! mai cepat kat dapoq.. hehehe
masakan pertama - maggi kot. tah la. lupa. lol

2. orang yang mengalakkan mesti la my mum dan adik-adik. yer lah. kalau kakak dorang reti goreng ikan jer, pakai dok makan hat tu saja la tiap hari. mau kembong perot. lol. sekarang diri sendiri la pula yang motivate. dok tengok blogger handalan memasak macam-macam jenis makanan, maka sendiri teringin nak try dan cuba buat macam mereka.

3. makanan yang paling kita suka masak - sayur!! yap, sekarang ni kalau balik kampung, mesti dapat request untuk buat sayur. tak kira lah sayur apa pon. yang bergoreng. normally mesti ada cendawan dan kuah-kuah yang di pekatkan dengan tepung jagung. adik bongsu cek cukup suka. kalau lambat je cedok ke pinggan, pakai habis kat dia sorang saja la sayur tu.

4. cek chun dengan besar hati nak tag sesiapa saja yang singgah di blog ini.

you are awesome in your own way
be it nasi hangit
or masak lemak pecah minyak
or kek bantat
because you cooked it
and you tried
and you don't give up!!!!

16 December 2010

burger spesel

ni semua gara-gara teringin nak berburger untuk dinner. dok pikir apa benda yang senang nak masak dan cepat di makan. mula tu ingat nak makan maggi je, tapi sungguhla tak sesuai. isi rumah dah la 7 orang. kang kembang maggi kalau buat banyak-banyak. 
chun baru perasan yang gardenia ada jual roti burger yang dah siap dihiris dua. balik sapu mentega dan bakar saja. ada 5 biji roti berharga rm1.90. chun guna burger daging ramly. letakkan sedikit seasoning maggi semasa mengoreng daging. bila dah masak, letakkan hirisan keju. kalau nak cantik lagi, cairkan keju di dalam oven. gunakan mode grill. 

antara isi burger spesel ni ialah;
  • salad
  • timun dan tomato yang dihiris nipis. 
  • bawang dipotong bulat-bulat dan digoreng dengan minyak sedikit sehingga agak kelayuan dan toskan. 
  • telur digoreng mata kerbau.
  • sos cili maggi 
  • mayonis 
dah siap semua bahan, letak jer atas meja dan assemble la sendiri. nak tinggi mana? berapa lapis?
janji makan sampai habis. 

11 December 2010

fetucine carbonara


dah banyak kali sebenarnya buat pasta ni. tetiba teringin. dulu makan di dave's deli, chun order carbonara. ingatkan pekat berkrim, rupanya dah macam kuah pastanya. memang diletak cream saja. tapi sedap dan tak muak. ada capsicum dan cendawan tiram di dalamnya.  carbonara yang sebenarnya patut di letakkan dengan kuning telur. jadi masakan akan menjadi pekat berkrim.

jadi chun try buat kat rumah. letak air rebusan pasta tu banyak-banyak. resepi macam dulu cuma kali ni lebihkan air rebusan pasta semasa mengoreng.  aregano pula hilang ntah ke mana. kalau letak, mesti lagi sedap.

09 December 2010

puding koktel bertepung jagung

dah siap-siap masak agar-agar hingga hancur, baru nak cari tepung kastard. adoii. boleh macam tu? rasanya semua dah ada dalam stok. bila cari dan cari, semua dah ke mana hilangnya. sebenarnya kalau nak masak sesuatu, susun dan letak semua bahan atas meja sebelum operasi bermula. wajib tu. kalau tak, jadi lah macam  ni.

jadi chun pun guna la tepung jagung. masa mula masukkan dalam periuk, erhhhh. sangat tak enak bau nya. tapi chun pasrah. benda dah terlambat. slow kan api dan terus kacau lagi dalam 5 minit. bau dah berkurangan.  tambah pula vanilla secamca teh. ada bau tepung jagung lagi. tapi dah makin sikit. harap-harap bila makan, tak ada bau la :-p.

berdebar juga bila nak bagi mak dan abah makan. lega bila depa siap minta tambah. bila rasa, memang tak da bau dah semua. jadi, boleh la cuba lagi besok ni.

bahan-bahan
  • 25gm agar-agar - chun guna setengah saja
  • air
  • 1/2 cawan susu pekat
  • 1/2 cawan susu cair
  • gula secukupnya
  • 1/2 cawan tepung jagung - bancuh dengan sedikit air
  • 1 camt esen vanilla
  1. agar-agar di masak bersama air hingga hancur. 
  2. masukkan susu dan gula. masak atas api perlahan. jangan sampai mendidih.
  3. tuang bancuhan tepung jagung sambil dikacau perlahan-lahan selama 5 minit.
  4. masukkan vanilla dan angkat dan tuang dalam acuan pilihan. 
sos kastard
  • 1 tin susu cair
  • 1 cawan air
  • air dari 1 tin laici
  • 2 biji kuning telur
  • 1camt esen vanilla
  1.  masukkan semua bahan dalam periuk kecuali vanilla.
  2. whisk hingga telur hancur.
  3. letak atas api perlahan dan kacau selama 5 minit. 
  4. masukkan vanilla, angkat dan sejukkan dalam peti sejuk. 
chun juga guna nata de coco bersama nenas dan buah laici. selalunya orang guna buah-buahan koktel. semua bergantung kepada selera atau stok yang ada.

08 December 2010

chinese muslim restaurant

 restoran ni baru dibuka di Bayan Baru, Penang. depa claimed the first chinese muslim restaurant in Penang. juadah disediakan secara a la carte. jadi, kena bawak ramai-ramai datang sini makan. harga untuk mee dan nasi goreng lebih kurang macam di cafe lain. ada saiz S dan L. rm6, 7 @ 8. untuk lauk pauk pula bermula rm8 ke atas. ada juga seafood macam ketam dan udang lipan, tapi belum available. lol. payah kot nak menjala kat laut tu.
 masakan kurang masin. elok untuk yang nak jaga kesihatan. ingatkan depa terlupa letak garam, rupanya bila kali kedua p, memang gitu cara penyediaannya. paling chun suka bandung cincau (rm2.50) ni. dia tarik susu sampai berbuih. letak saja sirap. pelanggan, sila kacau sendiri ya sebelum minum.

masakan Ning Xia menggunakan banyak cili. dek suhu yang sejuk, cili dapat memanaskan badan mereka. tapi bila chun makan, tak pedas la pula. nampak merah menyala kan gambar di atas? tauhu tu dah lupa la namanya. daging cincang bersalut telur digoreng bersama cendawan dan capsicum. masih ranggup daging tersebut. walaupun dimasak berkuah.

ini pula bebola tauhu dengan seafood (rm8). kecil saja sebenarnya. besar sikit dari guli saja. rasa biasa-biasa saja. chun rasa filamen crab tu saja yang seafoodnya.  dibawah ni pula mee dari China (rm6). memang berbaloi dengan harga. nampak berkuah kan. tapi inilah mee goreng mereka. ada dua jenis- seafood atau daging.

BLOGLIST 2011 .. SELAMAT DATANG TAHUN BARU

dengan berbesar hatinya cek nak masuk lagi bloglist incik Ben.
cek rasa ni la salah satu cara cek dapat cari kawan-kawan maya.
hari-hari, misti cek akan klik kat mana-mana blog yang ada di list yang sedia ada itu.
moga-moga permohonan diperkenankan :)



oleh kerana tuan tanah yang sama, jadi cek kopipes saja dari cekrasala. ahaks..

07 December 2010

red velvet untuk tersayang

 rv ni dibuat semalam. untuk meraikan kedatangan mak dan abah ke rumah. oleh sebab mak kurang suka rasa coklat yang pahit, chun buatkan kek ni untuk dia. selalunya dia minat kek oren. paling best sicilian orange cake tu la. tapi kali ni chun try bagi dia rasa kek merah pula.

resepi dari joy of baking. dah kali ketiga buat kek ni. kali ni, chun tak guna cream cheese. chun pakai butter cream lebihan kek kawen cik Mun tempoh hari. sapu nipis saja takut manis sangat. lepas tu tabur dengan kelapa kering.

06 December 2010

macarons ohh macarons

bila lihat rupamu, bikin hati ku cair. walaupun tak pernah rasa, ku tahu kau sedap oh macaron. bila singgah tengok kau disini, lagi hatiku berdebar. kenapakah kau cantik sangat? kenapakah kau perlu berwarna-warni? kenapakah kau perlu inti yang segala macam jenis? bila tengok Rina bungkus kau, lagi hatiku bergelodak. cantik sungguh bila dibalut dengan reben segala.

sumber dari sini : http://ongobee.com/GoBee_6_French-Macarons-Recipe-with-Chocolate-Ganache-Filling
Rina dah buat kelas untuk Januari nanti. kalaulah dapat ku terbang merentas awan, lama dah ku kesana. tapi apakan daya, aku hanya mampu memandang. pergi pula ke rumah kak jun, cubaan pertamanya terus menjadi. tangan ajaibnya tak pernah gagal untuk mengimpresskan daku. moga tanganku juga dapat jadi sepertinya suatu hari nanti :)

sumber: http://www.seriouseats.com/2007/10/interview-with-macaron-specialist-dorie-green.html
selak ke mansion martha steward, banyak tips yang diperolehi. akan ku cuba kah macarons itu? hanya masa yang akan tentukan.

air sarbat power


kalau dah singgah ke Chowrasta, tak sah la kalau tak singgah di kedai tepi bangunan ni. ada deretan kedai makan. gerai yang agak daif rupanya. tapi punya banyak tempat makan yang sedap. cari air sarbat yang duduk bersebelahan dengan gerai cucur udang. air sarbat ni ada sirap, air kelapa, biji selasih, isi kelapa muda, dan getah anggur di dalamnya. segelas rm1.20 dan kalau bungkus rm1.50. cucur udang pon sedap. tauhunya sangat lembut. kadang-kadang kena beratur untuk tunggu giliran makan atau bungkus.

 
di seberang jalan pula, antara pasaraya Mydin dan ibu pejabat polis pulau pinang, anda akan berjumpa dengan kereta sorong yang menjual kuih-kuih dibawah ni. pakcik ni dah lama berniaga. antara yang dijual panas-panas ialah vadei, masalodeh dan samosa. inti samosa ada tiga jenis - sardin, ayam dan kentang. chun pilih sardin. inti kentang tu akan diletakkan bersama-sama sardin. kulit samosa dibuat sendiri oleh pakcik ni. harga kuih dalam 50-70 sen. semua sedap.

05 December 2010

Hameediyah - bila dah berhawa dingin

berhawa dingin dan selesa
 minggu lepas chun dan kawan-kawan sempat singgah untuk makan tengahari di restoran hameediyah di lebuh campbell. tarikan disini tentulah nasi briyani yang penuh satu pinggan. kalau tekak kecil, memang la kena share dengan kawan. restoran ni ada dua kedai. bila masuk chun tengok penuh dengan orang beratur, jadi kami ke kedai sebelah. di sana mereka akan ambil order dan hantar ke meja.

terkejut kejap bila tengok kedai nih. dah cantik rupanya. siap ada pelayan beruniform, menu dan hiasan dalaman yang agak menarik. harga masih sama macam di kedai yang lama. satu set rm8 untuk ayam. kami order set ayam dan daging.

briyani ayam, briyani daging dan kelempung
bila sampai nasi dalam pinggan hidang yang besar, agak kuciwa juga bila tengoknya. nasi tak sebanyak dulu. yang paling sedih tengok set daging. ciput jer daging dan nasinya. macam setengah nasi set ayam. kelempung yang berharga rm2.50 tu pon kecil saja. sebesar sudu makan! isk isk iskkk kat sini rupanya dorang kurangkan untuk menampung belanja renovation ini. mujoq rasa masih sama.

kalau dah biasa makan di sini, memang akan rasa ralat la. dengan bersudu garpu bagai, sungguh tak masyuk makan. dah halfway, bangun, basuh tangan dan makan semula. baru rasa masyuk sikit. masing-masing kata akan sanggup beratur tunggu kat kedai lama tu. lebih feeling. untuk orang luar, restoran ni mungkin menyenangkan anda. tapi tu la, feel sudah ada kurang la.

sup tauhu telur dan udang

 chun suka makan segala jenis tauhu. senang cakap segala jenis makanan berasaskan soya. tauhu telur ni dibungkus panjang dan berwarna kuning. harga tak sampai pun seringgit. paling murah chun jumpa 55 sen saja. hiris dan goreng sebelum digunakan untuk memasak.

antara masakan yang paling popular untuk tauhu telur ialah sup. campurlah dengan segala macam sayuran. ada yang memekatkan kuah dengan bancuhan tepung jagung. terpulang pada citarasa masing-masing.

bahan-bahan
  • halia - julienne
  • bawang putih - hiris untuk menumis
  • 100gm udang - bersihkan, tinggalkan ekor sahaja
  • 2 bungkus tauhu telur - potong dan goreng dahulu
  • segenggam daun bawang  - potong sepanjang 2cm
  • sedikit daun sup - potong 2cm 
  • fresh grated black pepper
  • 1 camb sos tiram
  • garam
  • 2 cawan air
  1. tumis halia dan bawang hingga kekuningan. masukkan air. tunggu hingga mendidih.
  2. masukkan semua perasa dan udang. kacau sekejap saja. 
  3. masukkan daun bawang dan daun sup. kacau seminit dan angkat. 

04 December 2010

kedai yang paling cek minat

 cek jumpa kedai ni semasa jalan-jalan cari makan dengan sepupu-sepupu yang ramai tu. bila tiba di stadium, parking kereta dan cek ternampak dengan begitu besar signboard di seberang jalan. berwarna kuning dan sunggoh catchy dengan namanya Sugar & Flour. wah.. ini sangat menarik. one stop centre for your baking need.

masuk saja, cek dah terpegun. tapi tak la ssehebat kedai besar yang lain. cuma bagi cek, kat sini semua ada. sejak dari tu, bila balik kampung, memang dok tuju kedai ni saja. berdiri lama-lama pon takpa. janji mata puas memandang. masa ni la idea datang mencurah-curah. tengok plastik cupcake pon, cek dah berangan-angan dasyat. disini jugalah datang nya idea nak buat kek dua tingkat untuk cik Mun kahwin bulan lepas.
tapi harga dia agak mahal 2-3 ringgit dari harga barang mentah di kedai yang selalu cek jengah di Penang. tapi cek tak kisah la. window shopping pon sudah ok maaa. sampai depa kena panggil balik la sebab dah tak larat tunggu kat kereta :)

03 December 2010

pizza lagi

sejak dua menjak ni, asyik memizza saja. tera nak chemuih (selagi tak muak/bosan), bak kata orang utara. dok buat hat tu saja la. yang penting ramai boleh makan. nak membuatnya pon senang. terima kasih pada cik mat gebu. cuma kali ni, chun tak letak oregano dan bawang putih. nak resepi boleh lihat di sini.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...